Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Tiada perubahan dasar, kemasukan ke MRSM ikut syarat lama

ByNur Suhaida Muliyono

PADANG TERAP, 5 SEPT: Kerajaan mencapai kata sepakat untuk mengekalkan dasar pengambilan pelajar ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) yang lama tanpa mengira aliran sekolah, sejajar dengan konsep ‘Keluarga Malaysia’.

Menurut Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid, keputusan untuk tidak mengguna pakai cadangan perubahan yang diuar-uarkan sebelum ini adalah hasil perbincangan dengan wakil Majlis Amanah Rakyat (MARA).

“Saya hendak tegaskan dasar dan syarat kemasukan ke MRSM dikembalikan kepada syarat asal seperti sebelum ini, bagi memberi peluang semua pelajar memohon.

“Ini bermaksud semua pelajar dari Sekolah Agama (Bantuan Kerajaan), SJKC (Sekolah Jenis Kebangsaan Cina), SJKT (Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil) juga boleh memohon ke MRSM,” katanya pada satu sidang media selepas menghadiri Majlis Penyerahan Sumbangan Amal Pelitawanis TNB di Hospital Kuala Nerang pada Ahad.

Katanya lagi, proses pemilihan akan dibuat berdasarkan Ujian Kecenderungan Kemasukan MRSM (UKKM) yang menguji kecenderungan mata pelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta keperibadian pelajar.

“Dasar 10 peratus pengambilan pelajar bukan Bumiputera juga dikekalkan dan tiada sebarang perubahan,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Mahdzir berkata bagi sesi kemasukan tahun 2022, MRSM menerima 77,834 permohonan bagi Tingkatan Satu dan 24,495 bagi Tingkatan Empat.

“Bagaimanapun, MRSM hanya mampu menampung 7,500 pelajar Tingkatan Satu dan 2,000 pelajar Tingkatan Empat bagi setiap sesi pengambilan tahunan.

“Kita juga mengekalkan dasar menyediakan kuota 60 peratus kepada pelajar cemerlang dalam kalangan keluarga B40 bagi mengikuti pendidikan menengah di MRSM,” katanya.

Kini terdapat 55 MRSM di seluruh negara yang mampu menampung bilangan pelajar yang mencecah 37,198 orang.

Kualiti dan sistem pendidikan yang tersendiri serta berkualiti tinggi diterapkan MRSM menyebabkan permintaan dalam kalangan pelajar ke maktab itu sentiasa tinggi selain sistem pendidikannya yang bertujuan membuka peluang pendidikan menengah bagi melahirkan pelajar yang holistik, cemerlang dalam bidang akademik, sains, teknologi dan keusahawanan.

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan