LONDON, 28 Mac: Kes demam denggi dalam kalangan individu yang pulang ke United Kingdom (UK) dari luar negara mencapai tahap tertinggi sejak mula direkodkan, menurut data baharu, lapor PA Media/dpa.
Orang ramai digesa untuk “mengambil langkah berjaga-jaga” ketika melancong ke negara yang mempunyai kadar jangkitan tinggi.
Data yang dikeluarkan oleh Agensi Keselamatan Kesihatan UK (UKHSA) menunjukkan sebanyak 904 kes denggi dicatatkan dalam kalangan individu yang pulang ke England, Wales dan Ireland Utara pada 2024, meningkat daripada 631 kes dalam tempoh 12 bulan sebelumnya dan tertinggi sejak pemantauan bermula pada 2009.
Sebahagian besar kes dikaitkan dengan perjalanan ke Asia Selatan dan Asia Tenggara, menurut agensi itu.
Demam denggi adalah penyakit yang biasa ditemui di Caribbean, beberapa bahagian di Afrika dan Asia, Amerika Tengah dan Selatan, Kepulauan Pasifik serta beberapa kawasan di selatan Amerika Utara.
Penyakit itu juga dikesan di beberapa negara Eropah seperti Croatia, Sepanyol, Portugal, Itali dan Perancis.
Jangkitan ini tidak ditemui di UK dan tidak boleh berjangkit daripada individu ke individu.
Gejala biasanya muncul antara empat hingga 10 hari selepas seseorang mendapat jangkitan daripada nyamuk yang dijangkiti.
Antara simptomnya ialah demam, sakit kepala yang teruk, sakit otot dan sendi, rasa loya atau muntah, ruam serta kelenjar yang membengkak.
Kebanyakan individu akan pulih dalam tempoh beberapa hari, namun dalam kes yang jarang berlaku, jangkitan boleh menjadi lebih teruk dengan simptom seperti muntah berulang, sakit perut yang teruk, pendarahan gusi atau hidung serta keletihan melampau.
Golongan yang berisiko mengalami komplikasi serius termasuk kanak-kanak, warga emas, wanita hamil, individu yang semput, diabetes dan tekanan darah tinggi, serta mereka yang pernah dijangkiti denggi sebelum ini.
Pakar Kesihatan Awam di UKHSA, Dr Philip Veal berkata: “Adalah penting untuk mengambil langkah pencegahan terhadap jangkitan bawaan nyamuk seperti denggi ketika melancong ke luar negara.
“Langkah mudah seperti menggunakan penyembur antiserangga, menutup bahagian kulit yang terdedah dan tidur di bawah kelambu yang disembur cecair antiserangga, boleh mengurangkan risiko jangkitan dengan berkesan.”
Dalam pada itu, jangkitan lain yang merebak melalui nyamuk dan dikaitkan dengan perjalanan turut mencatatkan peningkatan.
Sebanyak 112 kes chikungunya yang menyebabkan sakit sendi dan otot yang teruk dilaporkan tahun lalu, lebih dua kali ganda daripada 45 kes pada 2023.
Selain itu, terdapat 16 kes virus zika, meningkat daripada lapan kes pada tahun sebelumnya.
Zika biasanya tidak menyebabkan penyakit serius, tetapi jangkitan boleh memberikan risiko besar kepada wanita hamil kerana ia boleh menjangkiti bayi dalam kandungan.
Dr Veal menasihatkan orang ramai untuk menyemak laman web Travel Health Pro, yang disokong oleh UKHSA dan menyediakan maklumat tentang risiko kesihatan di pelbagai negara di seluruh dunia.
Pengembara juga digalakkan berbincang dengan doktor, ahli farmasi atau klinik perjalanan empat hingga enam minggu sebelum berlepas bagi mendapatkan nasihat, vaksin atau ubat pencegahan malaria.
UKHSA turut mengesyorkan agar individu memastikan vaksinasi zaman kanak-kanak mereka dikemas kini, memiliki insurans perjalanan yang sah serta membawa bekalan ubat mencukupi sepanjang tempoh perjalanan.
Dr Veal berkata: “Walaupun anda pernah ke sesebuah negara sebelum ini, ingat bahawa anda tidak mempunyai tahap perlindungan yang sama seperti penduduk tetap dan masih berisiko dijangkiti.”.-TVS