KUCHING, SEPT 5: Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), Datuk Wee Hong Seng menyambut baik keputusan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak melanjutkan tempoh larangan ‘dine in’ di Zon Selatan sehingga 19 September ini.
Katanya, meskipun kluster komuniti dan kluster tempat dianggap sebagai penyumbang terbesar kes COVID-19 di Sarawak namun aktiviti ‘dine-in’ atau makan di premis makanan juga menjadi salah satu faktor.
“Satu perkara yang kita perlu sedar adalah SOP yang telah ditetapkan JPBN Sarawak berdasarkan perbincangan daripada para doktor, pegawai kesihatan awam dan pakar perubatan penyakit berjangkit,” katanya ketika ditemubual wartawan TVS.
Mengulas lanjut, penularan varian baru COVID-19 seperi varian Delta boleh merebak dengan pantas melalui udara apabila pelanggan atau orang ramai membuka pelitup muka ketika makan.
“Peluang untuk dijangkiti adalah apabila anda tidak memakai pelitup muka. Jadi, dimanakah tempat yang anda sering membuka pelitup muka? Apabila kita makan. Ini merupakan satu cara pencegahan yang perlu diambil,” tegasnya lagi.
Justeru, beliau menyarankan setiap premis makanan dilengkapi dengan ventilator dan sistem pengudaraan yang baik bagi mengurangkan risiko penularan COVID-19 melalui udara.
“Saya akan mengadakan satu mesyuarat dengan Persatuan Pemilik Kedai Kopi dan Restoran Kuching untuk membincangkan mengenai ventilasi di premis mereka,” ujarnya lagi.
Terdahulu, JPBN Sarawak melanjutkan larangan ‘dine-in’ di Zon Selatan sehingga 19 September selepas mengambil kira bilangan kes COVID-19 di lapan daerah tersebut masih tinggi dan di tahap membimbangkan.
Zon Selatan meliputi Daerah Kuching, Daerah Bau, Daerah Lundu, Daerah Samarahan, Daerah Asajaya, Daerah Simunjan, Daerah Serian dan Daerah Tebedu.