MUKAH, 26 Mac: Seorang pekerja pendawaian elektrik syarikat swasta dikhuatiri lemas selepas tercampak keluar dari bot setelah terlanggar sebatang kayu hanyut di Batang Igan di Kampung Bungan Kecil, Dalat sekitar jam 2.00 petang tadi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata sehingga jam 6.30 petang, mangsa, Saffuan Zaffarin, 30, belum dijumpai.
“Operasi ditangguhkan memandangkan hari semakin gelap dan akan diteruskan keesokan hari bersama agensi lain,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Bomba menerima panggilan mengenai kejadian pada jam 2.30 petang dan menggerakkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Mukah ke lokasi kejadian.
Bomba dibantu orang kampung berusaha melakukan pencarian dalam radius 1 kilometer ke hulu dan hilir sungai. -TVS