KUCHING, 26 Mac: Program World #QuranHour (WQH) 2025 Peringkat Negeri Sarawak telah berjaya diadakan pada 25 Mac 2025 bersamaan 24 Ramadan 1446H dengan penyertaan serentak di pelbagai lokasi di negeri ini dan seluruh dunia.
Menurut kenyataan media, acara utama berlangsung di Islamic Information Centre, Kuching, dari pukul 8:30 pagi hingga 12:00 tengah hari, anjuran Pustaka Negeri Sarawak, Islamic Information Centre – Majlis Islam Sarawak (IIC-MIS) dan Rumah Ngaji Sarawak.
“Acara ini merupakan inisiatif global yang bertujuan membina sistem nilai melalui al-Quran dengan solidariti, bermula dari Malaysia ke seluruh dunia.
“Tahun ini, surah Al-Saff menjadi fokus utama program, menekankan kepentingan kesatuan dalam memperjuangkan agama dan membimbing manusia menghadapi cabaran kehidupan.
“Antara pengisian program di Kuching termasuk bacaan surah Al-Saff oleh Johan Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Sarawak 2025, tadabbur surah Al-Saff oleh Ustaz Muhamad Syaari Ab Rahman dari Tadabbur Centre, sumbangan wakaf ilmu, serta persembahan Qasidah,” tambah kenyataan tersebut.
Acara serupa turut diadakan di Masjid Assyakirin, Bintulu, anjuran Pustaka Negeri Sarawak Miri, dan di Masjid Setia Raja, Mukah, anjuran Pustaka Negeri Sarawak, Sibu.
Program ini turut dihadiri oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi.
Turut hadir bersama ialah Ketua Pegawai Eksekutif Pustaka Negeri Sarawak, Japri Bujang Masli dan Tuan Nasser Rambli, Pengurus Bahagian Pentadbiran & Pengurusan Sumber Islamic Information Centre – Majlis Islam Sarawak dan Ahli Panel Penasihat IIC Dato Norhyati Ismail.
Untuk maklumat lanjut mengenai program ini, orang ramai boleh menghubungi Pustaka Negeri Sarawak atau Islamic Information Centre – Majlis Islam Sarawak. – TVS