KUCHING, 26 Mac: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bakal menyaksikan lakonan semula pendaratan pasukan payung terjun di Bario pada 1954 di Padang Merdeka Kuching esok sempena memperingati Hari Peringatan Antarabangsa Ke-80 Pendaratan Payung Terjun Operasi Semut 1945.
Pengarah Unit Protokol, Istiadat dan Pengurusan Acara Sarawak, Datu Hamdan Sharbinim berkata, simbolik penyerahan bendera Sarawak kepada Abang Johari juga bakal diadakan sebagai sebahagian penghargaan kepada peranan penting yang dimainkan oleh kerajaan Sarawak dalam memperingati peristiwa ini.
Menurutnya llakonan semula itu bakal didemonstrasikan oleh anggota tentera daripada Pasukan Pertahanan Australia (ADF) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
“Kami turut dibantu Angkatan Simpanan Kejuruteraan Angkatan Darat (ASKAD), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Kementerian Pertahanan Australia. Selain itu, pihak Unit Protokol, Istiadat dan Pengurusan Acara Negeri (UPPAN) serta pelbagai agensi kerajaan di Sarawak.
“Semasa acara payung terjun itu, seramai lapan orang terlibat. Persembahan pancaragam pula melibatkan 30 anggota, manakala pasukan darat terdiri daripada 40 anggota, “katanya ketika ditemui pada Majlis Raptai Penuh Hari Peringatan Antarabangsa Ke-80 Pendaratan Payung Terjun Operasi Semut 1945 di Padang Merdeka Kuching, di sini, hari ini.
Menurutnya, acara tersebut bukan sahaja mengenang jasa dan pengorbanan generasi terdahulu, tetapi juga menjadi simbol kepada persahabatan yang berpanjangan antara Malaysia dan Australia.
Hari Peringatan Ops Semut kukuhkan hubungan Malaysia, Australia
Lakonan semula Operasi Semut 1945 itu pertama kali dipertontonkan di Bario semalam.
Hari Peringatan Ops Semut kukuhkan hubungan Malaysia, Australia
Majlis turut diserikan pelbagai acara dan persembahan bagi memberi penghormatan kepada pengorbanan mereka yang berjuang demi tanah air. – TVS