KUCHING, 26 Mac: Kerajaan Sarawak melaksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) bagi mewujudkan keuntungan bersama antara peniaga dan pengguna terutamanya dalam menghadapi cabaran ekonomi semasa musim perayaan.
Timbalan Menteri Jabatan Premier Sarawak (Undang- Undang, MA63 dan Hubungan Negeri- Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, SHMMP dilaksanakan sebagai salah satu langkah untuk membantu mengawal harga barang agar pengguna tidak terbeban dengan harga yang tinggi.
“Kita mahu dalam musim perayaan ini, semua pihak dapat meraih keuntungan dengan situasi menang-menang untuk semua, baik untuk peniaga, mahupun pengguna dan pembeli. Inilah yang kita harapkan semasa musim perayaan.
“Saya harap semua pihak akan mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDN) demi kepentingan bersama,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samariang turut mengingatkan peniaga di supermarket agar mempamerkan harga barang dengan jelas bagi memastikan ketelusan harga dan mengelakkan pengguna daripada merasa tertipu.
“Kita harap peniaga-peniaga di supermarket akan mempamerkan harga yang berwarna pink,” katanya.
Sharifah menjelaskan bekalan barang di Sarawak masih stabil dan pihak berkuasa akan terus memantau keadaan bagi memastikan tiada masalah bekalan.
Selain itu, beliau menggalakkan rakyat untuk memanfaatkan program jualan rahmah yang menawarkan diskaun antara 10-30 peratus pada hujung minggu, khususnya pada hari Sabtu dan Ahad.
Program jualan rahmah diadakan di 80 Dewan Undangan Negeri (DUN) seluruh Sarawak dengan 164 program setiap bulan yang memberi peluang kepada rakyat membeli barang dengan harga lebih murah. – TVS