Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Siasatan menyeluruh dilakukan segera selepas ancaman keselamatan siber dikesan pada Ahad lepas (23 Mac) yang menjejaskan sistem komputer tertentu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Foto fail Bernama

Ancaman siber KLIA: Siasatan menyeluruh dimulakan, operasi tidak terjejas

ByBernama

SEPANG, 25 Mac: Siasatan menyeluruh dilakukan segera selepas ancaman keselamatan siber dikesan pada Ahad lepas (23 Mac) yang menjejaskan sistem komputer tertentu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Dalam kenyataan bersama hari ini, Pengarah Urusan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) Datuk Mohd Izani Ghani berkata Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) telah dimaklumkan bagi menilai jenis dan tahap insiden itu.

“Malaysia Airports memberi jaminan kepada semua pihak berkepentingan bahawa mengekalkan operasi lapangan terbang tetap keutamaan kami. Kami bekerjasama dengan rakan kongsi di lapangan terbang bagi memastikan operasi penerbangan dan pemprosesan penumpang terus berjalan seperti biasa.

“Memastikan keselamatan, perlindungan dan integriti sistem lapangan terbang kekal menjadi keutamaan tertinggi pada masa ini. Pasukan teknikal dan operasi giat memantau keadaan dan melaksanakan langkah perlu untuk melindungi infrastruktur dan memastikan penumpang tidak terjejas,” katanya.

Sementara itu, Ketua Eksekutif NACSA Dr Megat Zulhairy Megat Tajuddin berkata agensi itu mengikuti perkembangan terbabit dengan teliti sejak menerima laporan MAHB pada 23 Mac.

“Kami maklum bahawa operasi di KLIA tidak terjejas dan akan terus memantau situasi dan menyokong MAHB,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan bahawa sistem digital MAHB diserang penggodam baru-baru ini yang menuntut bayaran USD10 juta.

Anwar, bagaimanapun berkata kerajaan tidak tunduk kepada tuntutan penjenayah siber itu selain turut menekankan keperluan untuk memperkukuh sistem negara dengan memperuntukkan pembiayaan tambahan kepada pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Bank Negara Malaysia.  -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan