MIRI, 24 Mac: Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak (DUBS) Cawangan Miri mengadakan majlis penghargaan bagi meraikan rakan media dan sukarelawan yang banyak membantu semasa bencana banjir melanda Miri dan kawasan sekitarnya Februari lalu.
Pengerusi DUBS Cawangan Miri, Mohammad Hafidz Rohani menzahirkan penghargaan kepada pihak media atas liputan terhadap inisiatif DUBS dan isu yang melibatkan komuniti perniagaan.
“DUBS Miri bukan sahaja menyokong dasar-dasar yang membawa kebaikan tetapi turut memberikan kritikan membina terhadap dasar yang dirasakan membebankan ekonomi usahawan di sini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Selain itu, penghargaan turut diberikan kepada hampir 20 sukarelawan yang menyertai inisiatif DUBSCares semasa bencana banjir.
Dengan sumbangan ahli DUBS, kira-kira RM30,000 dikumpulkan dan diagihkan dalam bentuk bantuan makanan, kit kebersihan dan perkhidmatan pengangkutan kepada mangsa banjir di Miri serta Niah.
Di samping itu, DUBS Miri turut membantu membersihkan hampir 30 tan sisa banjir di beberapa kampung dengan menggunakan jentera yang disediakan Kerajaan Sarawak.
Malah, mereka turut menyalurkan bantuan kepada mangsa tanah runtuh di Kampung Lereng Bukit termasuk kerja-kerja meratakan tanah di kawasan rumah terjejas akibat kejadian tersebut.
“Kejayaan ini membuktikan semangat kebersamaan dan keprihatinan ahli-ahli DUBS dalam membantu masyarakat. Semangat ini amat dihargai,” ujarnya.
Pada majlis sama, DUBS Miri turut mengumumkan Mesyuarat Agung Tahunan DUBS Cawangan Miri bagi sesi 2025–2028 akan diadakan pada 27 April 2025 termasuk pemilihan kepimpinan baharu. -TVS