Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Foto hiasan Envato

Memburu Lailatulqadar, malam lebih baik dari seribu bulan

BySheera Abg Mansor

KUCHING, 23 Mac: Memasuki fasa akhir Ramadan, umat Islam di seluruh dunia berlumba-lumba mencari Lailatulqadar atau malam Qadar iaitu malam yang lebih baik dari seribu bulan.

Pada malam ini, pintu langit dibuka, rahmat dicurahkan dan pahala dilipatgandakan.

Namun, rahsia malam ini hanya dirasai oleh mereka yang benar-benar mencarinya.

Menurut Ketua Penolong Pengarah Jabatan Agama Islam (JAIS), Ngatijam Misau, Lailatulqadar merupakan malam berlakunya penurunan Al- Quran secara sekaligus dari Luh Mahfuz ke Baitul Izzah, sebelum diturunkan secara beransur-ansur ke dunia.

Katanya, dengan merujuk hadith sahih, malam Qadar ini juga adalah malam penuh keberkatan di mana para malaikat turun ke bumi dan pahala dilipat gandakan sebagai hadiah kepada mereka yang membukakan hatinya beribadah, menjunjung taqwanya hanya pada Allah SWT.

“Lailatulqadar ialah waktu di mana bila kita beribadah pada malam ni contohnya bersedekah, membaca Quran dan berdoa, ganjaran amalannya akan dilipat gandakan. Pahalanya menyamai 83 tahun.

Itulah keistimewaan dan kelebihan malam ni iaitu malam keberkatan,” katanya ketika ditemui TVS baru-baru ini.

Ngatijam memberitahu, hikmah Allah merahsiakan waktu tepat berlakunya malam Qadar ini adalah sebagai ujian kepada hambaNya agar beribadah dengan ikhlas sepanjang Ramadan, bukan hanya pada malam tertentu sahaja.

Namun menurutnya, tanda-tanda berlakunya Lailatulqadar ini ada dinyatakan dalam hadith dan hanya yang benar-benar mencari akan merasainya, dengan izin Allah SWT.

“Menurut hadith, tanda-tanda malam Qadar ini ialah apabila kita akan melihat udara dan suasana pagi terasa tenang dan nyaman. Tidak juga panas mahupun sejuk.

Ini kerana apabila dikatakan para Malaikat turun ke bumi, digambarkan sayapnya meliputi timur dan barat. Jadi, bila malaikat dah turun, keadaan pada keesokan harinya akan menjadi redup, sejuk dengan angin sepoi-sepoi bahasa,” jelasnya.

Beliau berkata, dalam mengejar Lailatulqadar, umat Islam dianjurkan untuk menghidupkan malam-malam terakhir dengan memperbanyak ibadah sunnah seperti beriktikaf di masjid, membaca Al- Quran, berzikir, bersedekah, berdoa serta memohon keampunan kepada Allah.

Ngatijam Misau, Ketua Penolong Pengarah Jabatan Agama Islam (JAIS) ketika ditemui TVS baru-baru ini.

Selain amalan sunnah, Ngatijam turut menekankan kepentingan untuk memohon keampunan sesama manusia terutama kepada ibu bapa, kerana menurutnya, dosa sesama manusia itu boleh menjadi penghalang seseorang dipertemukan dengan Lailatulqadar.

“Menelefon ibu bapa atau keluarga itu pun dikira ibadah juga. Telefon mereka dan minta maaflah. Memang kita disuruh oleh Allah untuk bermaaf-maafan di bulan Ramadan ini.

“Kalau kita ada banyak dosa sesama manusia, takut dosa itu menjadi penghalang untuk kita mendapat keberkatan Lailatulqadar,” ujarnya.

Bagi mereka yang letih bekerja di siang hari, Ngatijam menyarankan untuk mengamalkan tidur ‘Qailulah’ iaitu berehat sebentar dipertengahan siang atau sebelum waktu Zohor kerana berehat di waktu ini dapat mengembalikan semangat serta memudahkan untuk bangun beribadah di malam hari.

Menurutnya, cabaran bekerja dan keletihan tidak boleh menjadi penghalang kepada usaha untuk meraih keberkatan Lailatulqadar yang hanya muncul setahun sekali, iaitu sehari dalam sepuluh hari terakhir Ramadan.

“Rebutlah peluang pada 10 malam terakhir Ramadan ini dengan memperbanyakkan ibadah. Lebih banyak lagi daripada biasa untuk melayakkan kita mendapat kelebihan Lailatulqadar,” jelasnya.

Lailatulqadar selamanya akan menjadi rahsia Allah SWT.

“Carilah malam Al-Qadar itu pada malam ganjil dari 10 malam terakhir Ramadan.” (HR Al- Bukhari).

Semoga kita direzekikan untuk bertemu Lailatulqadar. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan