KUCHING, 23 Mac: Yayasan AIDS Malaysia, Teratak Kasih Tok Nan (TKTN) dengan kerjasama Sukarelawan Jalanan Sarawak (SJS) telah mengadakan program Ihya Ramadan dan sumbangan barang keperluan asas kepada penerima faedah (pesakit HIV.)
Penaung TKTN Sarawak, Datuk Amar Datin Patinggi Jamilah Anu berkata, program ini merupakan inisiatif TKTN, Yayasan AIDS Malaysia dan Sukarelawan Jalanan Sarawak dalam memupuk nilai harmoni dan kebersamaan bagi mengeratkan hubungan penerima faedah dengan masyarakat tempatan di Kuching pada bulan Ramadan.
Katanya, selain program memasak bubur lambuk, aktiviti sampingan lain turut diadakan seperti penyerahan replika cek daripada Datuk Amar Datin Patinggi Jamilah Anu kepada Yayasan AIDS Malaysia, Tadarus Al-Quran dan sesi sokongan komuniti.
“Sekitar 20 sumbangan bakul makanan disampaikan kepada penerima faedah dan lebih 1,000 pek cucur sayur dan bubur lambuk diagihkan kepada komuniti setempat di Hospital Umum Sarawak(HUS), Anjung Kasih dan sekitar Satok.
“Melalui program ini juga saya dapat lihat sebagai peluang untuk mengeratkan silaturahim bersama penerima faedah memandangkan penglibatan mereka ini perlu dihargai agar tidak tersisih dengan ahli masyarakat yang lain,” ujarnya.
Turut hadir perasmian program tersebut ialah Pengarah Eksekutif Yayasan AIDS Malaysia, Jasmin Jalil dan Pengerusi TKTN, Dr. Ruziana Miss. -TVS