SEBUYAU, 22 Mac: Kerajaan Sarawak telah meluluskan dana sebanyak RM150 juta untuk melaksanakan projek menaik taraf bekalan elektrik di Bahagian Samarahan yang diharap siap dalam tempoh dua tahun.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, projek tersebut bertujuan bagi memenuhi permintaan beban yang semakin meningkat akibat pertambahan jumlah penduduk dan projek-projek pembangunan yang sedang giat dijalankan.
Ujarnya, pelaksanaan projek tersebut akan meningkatkan prestasi bekalan elektrik di kawasan Samarahan termasuk Kampung Seruyuk.
“Tahun ini peruntukan-peruntukan yang dah ada RM150 juta daripada Kerajaan Sarawak. Ini yang kita lakukan tetapi kerja-kerja itu makan masa kerana tidak siap dalam masa sebulan dua bulan,” katanya ketika berucap semasa program Ziarah Ramadhan dan Program Tanggungjawab Sosial di Masjid Darul Hidayah, Seruyuk di Sebuyau pada Sabtu.
Tambahnya, kerajaan negeri turut meluluskan RM450 juta peruntukkan untuk menaik taraf bekalan elektrik di kawasan-kawasan luar bandar yang lain.
Jelasnya, perkara tersebut adalah salah satu usaha pihak kerajaan bagi memastikan bekalan elektrik di luar bandar dapat disalurkan.
“Untuk kawasan baru di daerah Lundu, Betong, Lubok Antu, Sungai Asap dan di Lawas, kerajaan telah meluluskan peruntukkan sebanyak RM450 juta bagi menaikkan infrastruktur bekalan elektrik di kawasan-kawasan baru itu dengan perincian dibuat Sarawak Energy Berhad, Unit Perancangan Unit dan Pejabat Setiausaha Kewangan Negeri (PSKN) dalam masa terdekat supaya ia dapat dilaksanakan pada kadar segera,” jelasnya.
Mengenai program Ziarah Ramadan dan Program Tanggungjawab Sosial anjuran Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (MUT) Â di Kampung Seruyuk, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau itu berkata, penganjuran program berkongsi rezeki ini memberi sumbangan kepada penduduk setempat yang terdiri daripada golongan yang memerlukan bagi meringankan beban semasa bulan Ramadan sekali gus sebagai persediaan menyambut Hari Raya Aidilfitri.
“Alhamdulillah hari ini giliran Kampung Seruyuk dan sekali gus Kampung Sungai Ladong yang dikenal pasti.Jadi saya berharap ia dapatlah dijadikan keperluan lebih-lebih lagi pada bulan Ramadhan,” katanya.
Semasa majlis berlangsung, seramai 100 orang asnaf menerima sumbangan berbentuk bakul makanan dan 50 orang kanak-kanak menerima sumbangan duit raya, penerima tersebut adalah masyarakat yang terdiri dari penduduk Kampung Seruyuk, Kampung Sungai Ladong dan Kampung Segali.
Penganjuran kali ini merupakan tahun kedua program ini dianjurkan oleh MUT dengan kolaborasi bersama agensi-agensi terlibat seperti Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Lembaga Air Kuching (KWB), dan Sarawak Energy (SEB). -TVS