MIRI, 22 Mac: Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak, dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah, menyifatkan penganjuran Kem Ramadan di Masjid Darul Ehsan sebagai satu pendekatan berkesan dalam mendidik kanak-kanak sejak usia muda.
Beliau berkata, program ini bukan sahaja menepati masa yang sesuai sempena bulan Ramadan tetapi juga menerapkan nilai-nilai Islam secara santai dan menyeronokkan kepada kanak-kanak berumur tujuh tahun ke bawah.
“Saya melihat pendekatan ‘circle time’ yang digunakan menekankan pembelajaran tentang Ramadan dengan kaedah yang sesuai mengikut usia.
“Cara penyampaian yang santai dan tidak formal menjadikannya lebih berkesan dalam menyampaikan ilmu kepada kanak-kanak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita ketika lawatan program Ramadan Camp Tadika Astana di Masjid Darul Ehsan, Miri, hari ini.
Menurutnya lagi, kem ini mencerminkan konsep ‘experiential learning’ atau pembelajaran melalui pengalaman, yang amat ditekankan dalam pendidikan awal kanak-kanak di Sarawak.
“Anak-anak bukan sahaja belajar dalam bilik darjah, tetapi juga melalui pengalaman langsung di masjid. Mereka bukan sahaja memahami bahawa masjid adalah tempat solat, tetapi juga pusat ilmu dan interaksi sosial,” katanya lagi.
Beliau turut menyatakan harapan agar konsep ini diperluaskan ke daerah lain.
“Saya akan membawa perkara ini ke dalam mesyuarat Majlis Pendidikan Awal Kanak-Kanak Sarawak kerana ia merupakan contoh aktiviti cemerlang yang boleh dicontohi oleh tadika dan masjid lain.
“Dalam kem ini, kanak-kanak bukan sahaja didedahkan dengan solat berjemaah seperti solat dhuha dan solat zuhur, tetapi juga mempelajari asas bulan Ramadan, bulan-bulan Islam, dan nilai-nilai murni dalam Islam,” ujarnya. – TVS