KUCHING, 22 Mac: Program Ramadan Dewan Undangan Negeri (DUN) Stakan telah dianjurkan untuk membantu golongan asnaf serta menyokong aktiviti keagamaan di masjid-masjid sekitar kawasan berkenaan.
Memetik laporan UKAS, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stakan, Datuk Hamzah Brahim yang mengetuai program berkenaan telah menyampaikan sumbangan hari raya berupa wang tunai kepada 70 asnaf di samping sumbangan sebanyak RM2,000 kepada Jawatankuasa Pengurusan (JKP) Masjid Darul Taqwa bagi menyokong aktiviti-aktiviti keagamaan di masjid tersebut.
Seterusnya, program diteruskan di Masjid Darul Ibadah, Kampung Pangkalan Kuap, di mana Datuk Hamzah telah menyampaikan sumbangan wang tunai kepada 100 asnaf dari Kampung Pangkalan Kuap serta 19 asnaf dari Sekolah Tunaz Bakti.
Selain itu, JKP Masjid Darul Ibadah juga menerima sumbangan sebanyak RM2,000 bagi menyokong aktiviti-aktiviti masjid.
Turut hadir Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Afiq Fikri Brahim, Pemanca Masyarakat Melayu Daerah Samarahan Seli Hasan, Penghulu Kampung Pangkalan Kuap Buhari Abu Sapian, Ketua Kaum Kampung Stakan Melayu Mohamad Subari Beni dan Ketua Kaum Kampung Pangkalan Kuap Sabawi Bahar.
Hamzah dalam ucapannya berharap program ini dapat meringankan beban golongan asnaf serta menyemarakkan lagi aktiviti keagamaan sepanjang bulan Ramadan.
Beliau juga merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini, yang jelas menunjukkan semangat kebersamaan dalam meraikan bulan yang penuh berkah ini.