KOTA SAMARAHAN, 21 Mac: Sarawak disaran mengambil peluang menyumbang kepada Wakaf Majlis Amanah Rakyat (MARA) MADANI.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, inisiatif tersebut merupakan peluang besar untuk memperkasakan lagi agenda pembangunan ekonomi dan sosial negara.
“Sarawak perlu tahu apa yang direncanakan di peringkat persekutuan dan baru-baru ini Perdana Menteri telah meluncurkan Wakaf MARA Madani.
“Berwakaflah, sebab wakaf ini adalah amalan untuk sepanjang hayat kita, ia akan digunakan lebih kepada pendidikan agama, pendidikan generasi anak-anak kita serta dalam bidang kebajikan dan sebagainya. Sedikit sumbangan pun akan memberi manfaat kepada kita walaupun RM1,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Santunan Kasih Ramadan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) Peringkat Negeri Sarawak di Kampung Empila di sini, hari ini.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah yang juga Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang.
Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, keuntungan daripada pengembangan Wakaf Majlis Amanah Rakyat (MARA) MADANI dijangka diagihkan mulai Julai ini.
Menurutnya, dalam tempoh tiga bulan pertama 2025, kutipan Wakaf MARA MADANI mencecah RM51.6 juta hasil sumbangan daripada 1,845 penyumbang.-TVS