KANOWIT, 21 Mac: Pihak bomba melakukan khidmat khas kemanusiaan bantuan menghantar mayat menggunakan bot penyelamat selepas jalan terputus akibat banjir di Rumah Panjang Guntur di sini, hari ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kes itu jam 11.15 pagi dengan menggerakkan tiga M anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kanowit menggunakan bot penyelamat ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi kejadian didapati jalan menuju ke rumah panjang berkenaan dinaiki air.
“Ia tidak dapat dilalui kenderaan yang diguna untuk menghantar keranda berisi mayat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, anggota bomba bersama ahli keluarga mendiang memindahkan keranda berisi mayat ke bot penyelamat bomba dan dibawa melalui Sungai Ngemah, Rumah Panjang Guntur ke Jambatan Majau Kanowit.
“Pasukan bomba bertolak balik ke balai setelah keranda selamat dihantar ke rumah panjang,” ujarnya.-TVS