KUCHING, 21 Mac: Bintulu Port Holdings Bhd (BPHB) bersedia untuk menambah kuota penerima Biasiswa Bintulu Port pada tahun hadapan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BPHB, Ruslan Abdul Ghani berkata Biasiswa Bintulu Port merupakan salah satu inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) BPHB untuk membantu pelajar-pelajar Sarawak dalam kalangan B40 melanjutkan pengajian di dalam bidang maritim dan pelabuhan.
“Kami (BPHB) telah menerima lebih 500 permohonan sejak program ini dibuka pada 1 Mac 2025.
“Setelah melakukan proses penapisan hanya 10 permohonan diterima mengikut peruntukan yang diluluskan tahun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyerahkan zakat perniagaan BPHB berjumlah RM3.6 juta kepada Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) di Wisma Bapa hari ini.
Jelasnya, BPHB turut membuat pertimbangan untuk membantu lebih banyak pelajar golongan B40 bagi mendapatkan biasiswa tersebut sekiranya sambutan semakin bertambah dan menggalakkan.
Disoal mengenai jaminan peluang perkerjaan yang diberikan kepada penerima biasiswa, Ruslan memberitahu, potensi untuk mereka diserap adalah cerah, tetapi bergantung kepada pencapaian dan markah merit masing-masing.
“Tetapi kami tidak memberi jaminan 100 peratus bahawa semua mereka akan diserap,” tambahnya. – TVS