KUCHING, 20 Mac : Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg meraikan 20 anak-anak yatim dari Pusat Kebajikan Datuk Amar Hajjah Jumaani malam ini dengan pemberian sumbangan Ramadan.
Acara penuh makna itu menyerikan Majlis Berbuka Puasa anjuran Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) di Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN), pada Khamis.
Sumbangan tersebut merupakan inisiatif kebajikan DBKU bagi membantu golongan memerlukan dan sebagai tanda keprihatinan terhadap kebajikan masyarakat setempat.
Penyampaian sumbangan diadakan selepas solat Maghrib dan berbuka puasa, dalam suasana penuh muhibah.
Majlis itu turut dihadiri oleh 300 kakitangan DBKU, yang bersama-sama berbuka puasa dan memeriahkan suasana dengan semangat ukhuwah.
Penganjuran majlis ini bertujuan untuk mengukuhkan hubungan silaturahim antara kepimpinan negeri, kakitangan DBKU, dan masyarakat, selain menyemarakkan keberkatan bulan Ramadan.
DBKU berharap program seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang bagi mempererat hubungan serta meningkatkan semangat kerja berpasukan dalam kalangan warganya.
Majlis turut nenyaksikan Abang Johari menunaikan solat Isyak dan solat Tarawih, sebelum majlis diakhiri dengan moreh bersama hadirin.
Hadir sama, Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Dato Sri John Sikie Tayai; Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki; Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi; Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Datuk Dr Hazland Abang Hipni; Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Dato Fazzrudin Abdul Rahman; Peguam Besar Sarawak, Dato Sri Saferi Ali; Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan), Dato Sri Muhammad Abdullah Zaidel; Datuk Bandar DBKU, Dato Hilmy Othman, serta beberapa tetamu kehormat lain. – TVS