KAPIT, 20 Mac: Seramai 19 orang mangsa banjir di Kapit dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di asrama belia Jalan Bleteh di sini, petang tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapit, Timoty Barat berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kes itu jam 5.04 petang dengan menggerakkan anggota ke lokasi kejadian.
“Dalam kejadian di Jalan Airport, sekeluarga seramai tiga orang iaitu seorang lelaki dewasa,seorang perempuan dewasa dan seorang kanak-kanak minta bantuan untuk dipindahkan ke PPS di asrama belia Jalan Bleteh.
“Pihak bomba segera menuju ke rumah mangsa dengan menaiki perahu panjang yang disediakan oleh penghuni kawasan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, ketiga-tiga mangsa berjaya dibawa ke tempat selamat dan seterusnya dibawa ke PPS dengan menaiki Hilux pihak APM.
“Pihak bomba juga telah membantu memindahkan seramai lima orang mangsa menaiki Hilux bomba ke PPS.
“Mereka menunggu di tempat selamat sebelum pihak bomba tiba, setakat ini seramai 19 orang mangsa banjir telah berjaya dipindah ke PPS,” ujarnya.
Usaha Bomba memindahkan mangsa yang terjejas turut dibantu Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM). -TVS