KUALA LUMPUR, 19 Mac: Tuntutan Sarawak mendapatkan semula hak penuh ke atas sumber minyak dan gas adalah berlandaskan sejarah, perundangan yang sah dan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Ahli Dewan Negara mewakili Gabungan Parti Sarawak (GPS), Senator Datuk Ahmad Ibrahim berkata, Sarawak sudah memiliki kawalan penuh ke atas sumber minyak dan gas sebelum bersama – sama membentuk Malaysia pada 16 September 1963.
Jelas beliau kawalan berkenaan melalui Ordinan Perlombongan Minyak (OMO) 1958 dan United Nations Convention on the Law of the Sea (UNCLOS) 1954.
“Sebaliknya, Tanah Melayu ketika itu tidak mempunyai sebarang undang-undang berkaitan hidrokarbon kerana tiada aktiviti eksplorasi minyak dan gas di perairannya.
“Ini membuktikan bahawa Sarawak telah mempunyai rangka kerja perundangan sendiri yang sah dalam menguruskan sumber asli negeri,” katanya pada sidang media di Parlimen di sini hari ini.
Beliau mengulas berita bertajuk ‘End bickering over Petronas’s O&G rights, ex-Treasury man tells Sarawak’ yang disiarkan oleh sebuah portal berita pada 15 Mac lepas.
Ahmad berkata, kenyataan itu antara contoh tafsiran salah mengenai sejarah dan perundangan berkaitan hak Sarawak.
Sementara itu jelas beliau Kerajaan Persekutuan telah menggunakan kuasa darurat selepas 13 Mei 1969 untuk mengehadkan sempadan laut Sarawak kepada hanya 3 batu nautika menerusi Ordinan Darurat No. 7/1969 dan Ordinan Darurat No. 10/1969.
Ahmad menjelaskan tindakan itu dilaksana tanpa persetujuan negeri walaupun sebarang perubahan ke atas sempadan negeri perlu mendapat kelulusan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Yang di-Pertua Negeri berdasarkan Perkara 2(b) Perlembagaan Persekutuan.
“Keputusan ini bukan sahaja bertentangan dengan semangat MA63 tetapi juga merupakan satu penafian hak Sarawak ke atas sumber asli yang selama ini berada dalam bidang kuasa negeri,” katanya. -TVS.