KUCHING, 19 Mac: Polis mengesahkan telah mengenal pasti pemandu wanita yang menunjukkan isyarat lucah jari tengah di Jalan Batu Kawa di sini pada 15 Mac lepas.
Ketua Polis Daerah Padawan, Superitendan Mohd Irwan Hafiz Md Radzi berkata kes disiasat di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan.
“Pada 18 Mac 2025 jam 5.50 petang, Balai Polis Kota Sentosa Kuching telah menerima satu laporan daripada seorang lelaki tempatan berumur 18 tahun.
“Kejadian tersebut turut tular di laman sosial,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau menasihatkan para pengguna jalan raya agar memandu secara berhemah dan tidak menimbulkan sebarang tindakan yang boleh mengganggu kesantunan seseorang.
Di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan, sesiapa dengan maksud hendak mengaibkan kehormatan seseorang, menyebut apa-apa perkataan, membuat apa-apa bunyi atau isyarat, atau menunjukkan apa-apa benda, dengan maksud supaya perkataan atau bunyi itu didengar, atau supaya isyarat atau benda itu dilihat oleh seseorang itu, atau mengganggu kesantunan seseorang itu, hendaklah diseksa dengan penjara selama tempoh yang boleh sampai lima tahun, atau dengan denda, atau dengan kedua-duanya.