KUCHING, 18 Mac: Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak menerajui usaha membangunkan prototaip Sistem Bersepadu Coanda dan Kincir Air (Integrated Coanda and Waterwheel System – InCWaS) bagi membekalkan tenaga elektrik kepada komuniti luar bandar, menerusi kerjasama strategik dengan Kementerian Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak (MEESty).
Menurut kenyataan UiTM, inisiatif itu dibentangkan oleh Rektor UiTM Sarawak, Prof. Dr. Firdaus Abdullah semasa mengadakan kunjungan hormat ke atas Timbalan Menteri MEESty, Datuk Dr. Hazland Abang Hipni di pejabatnya pada Isnin.
“Semasa kunjungan ini Profesor Dr. Firdaus telah menyampaikan kertas cadangan untuk bekerjasama dalam membangunkan prototaip Sistem Bersepadu Coanda dan Sistem Kincir Air (Integrated Coanda and Waterwheel System (InCWaS)) dalam usaha membekalkan tenaga elektrik kepada masyarakat di luar bandar.,” katanya.
Selain itu, Dr. Hazland menyarankan agar UiTM memperluas kerjasama penyelidikan bersama rakan strategik industri seperti Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC), Sarawak Energy Berhad (SEB) dan Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) bagi memperkasa penyelidikan serta pembangunan alga sebagai sumber tenaga boleh diperbaharui.
“UiTM Sarawak komited mempertimbangkan saranan tersebut memandangkan universiti ini giat memperkasa inisiatif ‘industry@campus’, selaras dengan tujuh fokus utama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menerusi Amanat 2025,” kata kenyataan itu.
Turut hadir Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa (HEA), Prof. Madya Dr. Mohamad Isa Mohamadin; Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar (HEP), Prof. Madya Dr. Saimi Bujang; dan Timbalan Rektor Penyelidikan dan Jaringan Industri, Prof. Dr. Juferi Idris.
Dalam pertemuan itu, Dr. Hazland turut menggesa UiTM Sarawak memperkasakan pembangunan bakat dalam kalangan pelajar dan pensyarah, selain memperkenalkan program akademik berkaitan hidrogen dan tenaga bersih alternatif.
“Ia sejajar dengan aspirasi Kerajaan Sarawak untuk mencapai sasaran pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050, sekali gus memperkukuh agenda pembangunan mampan negeri,” katanya. – TVS