KUALA LUMPUR, 17 Mac: Seramai 333,615 usahawan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) telah mendapat manfaat daripada geran dan pembiayaan kerajaan.
Menurut Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedict, jumlah yang telah disalurkan pada tahun lepas sahaja mencecah RM9.57 billion.
Kata beliau ini dicapai melalui kerjasama antara pelbagai agensi kerajaan dan rakan-rakan strategik untuk mengangkat dan mempromosikan produk tempatan kepada pasaran yang lebih luas termasuk platform MyMall.
“Bagi menggalakkan lagi penglibatan PMKS untuk mendaftar di platform MyMall, tiada yuran dikenakan.
“Menerusi kerjasama dengan Tiktok Shop Malaysia, kita juga menyediakan fasiliti ‘live’ studio untuk para peniaga mengintegrasikan serta mempelbagaikan modus perniagaan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Kempen Mari Beli Lokal Ramadan Raya 2025 di Dewan Odeon, di sini, hari ini.
Sejak kewujudan MyMall, seramai 2,857 usahawan sudah berdaftar dan berjaya meraih nilai jualan melebihi RM10.82 juta.
Mengulas berkenaan kempen itu, Ewon berkata, ia menyasarkan sasaran jualan RM5 juta dan kini sudah mencapai RM2 juta.
Kempen Mari Beli Lokal Ramadan Raya 2025 akan berlangsung sehingga 30 April ini di mana pembeli boleh mendapatkan produk seperti makanan, pakaian dan pelbagai produk lokal. -TVS