KUCHING, 17 Mac: Seorang penonton perlawanan Liga Super antara Kuching City FC dan Selangor FC malam tadi ditangkap polis kerana membaling mercun di Stadium Negeri.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, lelaki tempatan berumur 33 tahun itu diberkas pada pukul 10.50 malam.
“Semasa penugasan jaga aman dijalankan, didapati seorang individu yang berada di tempat duduk penonton telah membaling objek ke arah balapan stadium dan berlaku bunyi letupan yang kuat disyaki mercun semasa perlawanan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kes disiasat di bawah Seksyen 6 Akta Bahan Letupan 1957 yang memperuntukkan hukuman penjara selama tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya.
Beliau menasihatkan orang awam yang hadir menyaksikan perlawanan bola sepak di Stadium Negeri agar tidak membawa barang terlarang, terutamanya bahan letupan yang boleh menimbulkan kegusaran dan ketenteraman awam dalam kalangan masyarakat.
Saksi yang menyaksikan kejadian boleh menyalurkan maklumat berkaitan kejadian ini dengan menghubungi Pusat Kawalan IPD Kuching di talian 082-24444 atau berhubung dengan Pegawai Penyiasat Jenayah, SM Kipli Jeman di talian 019-6784444.