KUCHING, 16 Mac: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg hari ini menghadiri Majlis Berbuka Puasa yang dianjurkan Markas Pemerintahan Medan Timur Tentera Darat (MK PMTTD) di Masjid Solahuddin Al-Ayubbi, Kem Penrissen.
Majlis berbuka puasa tahunan ini bertujuan mengeratkan hubungan silaturahim antara warga TDM dan pemimpin Sarawak serta masyarakat setempat khususnya dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatan.
Kehadiran Premier Sarawak memberikan satu pengiktirafan tinggi kepada kerjasama yang terjalin antara TDM dan kepimpinan Kerajaan Sarawak.
Selain itu, ia juga dilihat sebagai simbol perpaduan antara kepimpinan Kerajaan Sarawak dengan institusi pertahanan negara sekali gus memperlihatkan kerjasama kukuh.
Majlis tersebut bukan sahaja merapatkan hubungan antara tentera dan pemimpin Kerajaan Sarawak tetapi menggalakkan semangat perpaduan dalam kalangan rakyat Sarawak dalam suasana penuh keharmonian dan kedamaian sepanjang bulan Ramadan.
Ketibaan Premier Sarawak disambut dengan penuh hormat oleh Panglima 1 Divisyen Mejar Jeneral Datuk Khairul Anuar Abd Aziz.
Dalam majlis tersebut, Premier Sarawak turut menyempurnakan acara penyampaian sumbangan berupa hamper dan wang tunai kepada lima penerima dalam kalangan anggota tentera dan anak yang menghidap penyakit kronik.
Sumbangan tersebut menggambarkan keprihatinan kepimpinan Kerajaan Sarawak kepada kebajikan anggota tentera dan keluarga mereka.
Selain itu, Abang Johari juga dibawa melawat replika markas taktikal N.26 Gedong yang menunjukkan komitmen tentera dalam memastikan kesiapsiagaan dan keselamatan negara.
Majlis tersebut diteruskan dengan acara berbuka puasa diikuti dengan solat Maghrib, Isyak dan Terawih secara berjemaah.
Turut hadir Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Sri Lee Kim Shin, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Utiliti) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi serta Setiausaha Kerajaan Sarawak merangkap Komander Rejimen 510 Askar Wataniah Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki. – TVS