SPAOH, 15 Mac: Projek menaik taraf Jalan Mara Selangking – Tanjong Paoh dijangka siap dalam tempoh 18 bulan, kata Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
“Pagi tadi, saya berada di Rumah Mara, Ulu Layar, bagi menghadiri majlis pecah tanah Projek Naik Taraf Jalan Mara Selangking – Tanjong Paoh.
“Kita berharap projek ini dapat disiapkan dalam tempoh 18 bulan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis pecah tanah Projek Naik Taraf Spaoh Spur Road, Betong di sini, hari ini .
Mengulas mengenai projek menaik taraf Jalan Spur Spaoh, Uggah berkata, ia menelan kos sebanyak RM20.4 juta yang akan menghubungkan Jalan Spur Spaoh ke Lebuhraya Pan Borneo.
Ia melibatkan kerja menaik taraf jalan konkrit sedia ada kepada permukaan tar-sealed dan pelebaran jalan bagi meningkatkan keselesaan pengguna.
Projek di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) itu merangkumi kerja naik taraf sepanjang 10.5 kilometer.
Dengan siapnya projek berkenaan, ia akan ditingkatkan kepada standard JKR R3 bagi memastikan kualiti lebih baik dan keselamatan pengguna. – TVS