KUCHING, 15 Mac: Pihak berkuasa tempatan (PBT) akan menubuhkan majlis kanak-kanak masing-masing sebelum inisiatif tersebut diperluaskan ke peringkat daerah.
Memetik laporan Suara Sarawak, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, Petaling Jaya merupakan PBT pertama yang menubuhkan Majlis Kanak-Kanak diikuti Sarawak yang melaksanakan inisiatif tersebut menerusi Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) pada tahun 2024 dan Majlis Perbandaran Padawan (MPP) tahun ini.
Menurutnya, beliau berharap semua PBT menubuhkan Majlis Kanak-Kanak terlebih dahulu sebelum diperluaskan ke peringkat daerah.
“Kita mahu adik-adik kita yang masih muda menjadi bijak, diberi peluang untuk belajar sejak awal dan meneruskan kesinambungan ini supaya kita mencapai standard antarabangsa,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Angkat Sumpah Kanak-Kanak Padawan di Ibu Pejabat MPP.
Pada masa sama Dr. Sim mengucapkan tahniah kepada 18 Ahli Majlis Kanak-Kanak MPP yang dilantik dan mereka merupakan kumpulan pertama dalam majlis tersebut.
“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada MPP kerana memenuhi perjanjian dalam memorandum persefahaman (MoU) dengan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) pada 2023,” ujarnya.-TVS