Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Henry Harry Jinep

8 kampung di Tasik Biru bakal nikmati bekalan air lebih efisien

BAU, 15 Mac: Lapan kampung di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tasik Biru bakal menerima projek bekalan air paip sub-utama bernilai RM2 juta.

Timbalan Menteri Pengangkutan (Sungai dan Laut) Datuk Henry Harry Jinep berkata, projek tersebut adalah untuk memastikan penduduk luar bandar mendapat akses kepada air terawat dengan lebih efisien.

Memetik laporan Suara Sarawak menurutnya, projek yang dilaksanakan di bawah Agensi Pembangunan Bersepadu Greater Kuching (GKCDA) itu akan memberi manfaat kepada kira-kira 300 penduduk di Kampung Segong, Kampung Jambusan, Kampung Bau Lama, Kampung Sekibang, Kampung Grogog, Kampung Sebuluh, Kampung Suba Bau dan Kampung Suba Buan.

“Kawasan-kawasan ini sebelum ini tidak mempunyai paip sub-utama menyebabkan penduduk terpaksa menyambung bekalan air dari paip utama dengan jarak terlalu jauh. Ini bukan sahaja memberi kesan kepada tekanan air tetapi juga meningkatkan kos sambungan.

‘Dengan adanya projek ini, masalah tersebut dapat dikurangkan,” katanya ketika ditemui media selepas meninjau projek paip sub-utama di Kampung Serikin.

Henry yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru menjelaskan projek tersebut akan melibatkan pemasangan paip sub-utama sepanjang 11.3 kilometer dan dijangka siap dalam tempoh setahun.

“Setiap rumah yang terlibat dianggarkan akan menerima manfaat dengan kos penyambungan sekitar RM11,000.

“Projek ini diserahkan kepada kontraktor terpilih pada semalam (14 Mac) dan dijadualkan siap pada suku pertama tahun hadapan,” ujarnya.

Di Kampung Serikin, projek pemasangan paip sub-utama sepanjang 1.4 kilometer telah pun siap, menyediakan bekalan air terawat kepada 55 rumah yang sebelum ini tidak mempunyai sambungan.

Lebih 100 rumah lain juga mendapat manfaat melalui penyambungan hingga ke paip tegak dengan kos pemasangan termasuk meter ditanggung sepenuhnya.

“Pendekatan baharu ini lebih mesra rakyat kerana penduduk tidak lagi perlu melalui proses panjang untuk memohon sambungan air. Mereka hanya perlu menyambung bekalan dari meter ke rumah masing-masing,” jelasnya.

Beliau turut mengakui tekanan air masih menjadi cabaran utama di kawasan luar bandar terutama semasa musim kemarau.

“Kita ada beberapa kaedah untuk menangani isu ini termasuk menyediakan tangki air atau menghantar bekalan air terus ke kampung terjejas.

“Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) dan Pejabat Daerah akan terus memantau dan menguruskan pengagihan bekalan air kepada mereka yang memerlukan,” kata Henry.-TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan