SARIKEI, 15 Mac: Sebanyak 49 organisasi di kawasan Repok termasuk Badan Bukan Kerajaan (NGO), Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), persatuan dan masjid, menerima geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM219,500.
Menurut laporan UKAS, majlis penyerahan geran disempurnakan Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Dato’ Sri Huang Tiong Sii yang juga Ahli Parlimen Sarikei dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok pada Jumaat.
Dalam ucapannya, Tiong Sii menegaskan bahawa geran MRP ini bertujuan membantu organisasi tempatan melaksanakan pelbagai program yang dapat memberi manfaat kepada masyarakat setempat.
Selain daripada penyaluran geran, beliau turut berkongsi inisiatif membantu golongan pelajar sekolah di Parlimen Sarikei dengan menyediakan sumbangan pakaian seragam sekolah.
“Langkah ini bukan sahaja dapat meringankan beban ibu bapa, tetapi juga menjadi dorongan kepada pelajar untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan,” katanya lagi.
Beliau berharap agar usaha ini dapat melahirkan modal insan berkualiti yang mampu menjadi pemimpin masa depan serta menyumbang kepada pembangunan negara.
Majlis ini turut dihadiri Penghulu Huang Tiong Kang, Kapitan Ling Dien Yong, Kapitan Law Pick Hung serta pengetua dan guru besar dari sekolah sekitar Sarikei.
Penyerahan geran MRP ini mencerminkan komitmen kerajaan dalam memperkukuh pembangunan masyarakat menerusi sokongan kepada pelbagai organisasi tempatan