Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Lebih 50% pesakit jantung dunia dimasukkan semula ke hospital dalam tempoh enam bulan selepas dibenarkan pulang

BySteward Dawi

(Gambar atas: Pakar Perunding Kardiologi dari Pusat Perubatan Timberland, Dr Voon Chi Yen)

KUCHING: Pesakit yang mengalami kegagalan jantung menghadapi risiko kematian yang lebih tinggi berbanding penghidap kebanyakan jenis kanser, menurut kajian.

Berdasarkan data daripada Persekutuan Jantung Sedunia (WHF), terdapat 26 juta pesakit kegagalan jantung di seluruh dunia dan lebih 37.7 juta adalah anggaran jumlah kes yang tidak didiagnosis, dengan lebih 50 peratus pesakit dimasukkan ke hospital semula dalam tempoh enam bulan selepas discaj.

Kegagalan jantung boleh terjadi tanpa mengira usia tetapi biasanya berlaku mengikut peningkatan usia.

Menurut penerangan daripada Institut Jantung Negara (IJN), kurang daripada satu peratus individu di bawah umur 65 tahun mengalami kegagalan jantung, tetapi ini boleh meningkat kepada lebih lima peratus dalam kalangan mereka yang berusia lebih 75 tahun.

Menurut Pakar Perunding Kardiologi dari Pusat Perubatan Timberland, Dr Voon Chi Yen, ia sangat penting bagi seseorang itu mengenalpasti simptom lebih awal dan mendapatkan rawatan awal supaya masalah kegagalan jantung yang lebih teruk dapat dielakkan.

“Kegagalan jantung dapat dibahagikan kepada kegagalan jantung akut dan kegagalan jantung kronik. Kegagalan jantung akut berlaku apabila jantung gagal berfungsi secara tiba-tiba dalam tempoh yang singkat manakala kegagalan jantung kronik berlaku dalam tempoh yang lama,” jelas Dr Voon semasa ditemui pemberita TVS baru-baru ini.

Jelas Dr Voon, serangan jantung juga boleh menyebabkan kegagalan jantung dan jika seseorang itu mengalami serangan jantung, ia boleh menyebabkan kegagalan jantung berlaku dengan lebih cepat disebabkan oleh arteri jantung tersumbat.

“Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan kegagalan jantung iaitu penyakit jantung koronari, penyakit darah tinggi, injap jantung rosak, kardiomiopati, masalah genetik dan pengambilan alkohol. Semua penyebab ini boleh membawa kepada kegagalan jantung akut dan kronik,” katanya.

Simptom yang selalu berlaku kepada mereka yang mengalami kegagalan jantung adalah seperti mudah sesak nafas semasa berjalan dalam tempoh yang singkat, semasa tidur, dan lebih teruk lagi kaki akan menjadi bengkak atau mengalami edema.

“Terdapat beberapa ujian yang dilakukan di hospital untuk mengesan kegagalan jantung. Contohnya, ujian darah iaitu dengan mengambil sampel darah untuk memeriksa sama ada pesakit ini ada kegagalan jantung atau pun masalah kesihatan lain.

“Selain itu, ujian lain yang digunakan ialah Elektrokardiogram (ECG) dan X-Ray dada serta Echocardiogram (sejenis pengimejan perubatan jantung), yang menggunakan ultrasound standard atau ultrasound Doppler,” ujarnya lagi.

Beliau menambah, ia adalah penting bagi seseorang itu untuk mengurangkan risiko yang boleh menyebabkan serangan jantung dan kegagalan jantung.

“Mereka yang ada tekanan darah tinggi, masalah kolesterol dan diabetes mesti mematuhi arahan pengambilan ubat, kerap berjumpa doktor dan memastikan tahap darah, gula dan kolesterol sentiasa terkawal.”

Gaya hidup yang sihat juga boleh mengurangkan risiko kegagalan jantung, seperti bersenam, mengurangkan pengambilan alkohol, jika dapat berhenti merokok, dan mengekalkan Indeks Jisim Badan (BMI) yang ideal.

Tags: #bm

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan