KUCHING, 14 Mac: Sarawak kini giat membangunkan ekonomi yang mampan dan berdaya tahan berteraskan integriti dan visi strategik.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menekankan bahawa kejayaan sesebuah negara bergantung kepada integriti kepimpinannya.
“Dalam era digital hari ini, kemerosotan integriti telah membawa kepada penipuan yang berleluasa, didorong oleh ketamakan dan keuntungan jangka pendek.
“Tanpa integriti, kemajuan akan runtuh,” katanya ketika berucap pada Hari Integriti dan Majlis Berbuka Puasa anjuran Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) 2025 di sini, hari ini.
Ujarnya, integriti juga menjadi pemacu kepada transformasi digital dan ekonomi baharu Sarawak.
“SEDC, misalnya, memupuk budaya keusahawanan berasaskan integriti. Sarawak Metro dan SEDC Energy berada di barisan hadapan, mengintegrasikan hidrogen ke dalam pengangkutan awam serta inisiatif tenaga yang lebih luas.
“Negeri ini juga sedang melabur dalam infrastruktur baharu, termasuk lapangan terbang canggih dan pelabuhan yang diperkemas, yang dijangka direalisasikan dalam beberapa dekad akan datang,” katanya lagi.
Pada majlis sama, SEDC turut menyampaikan sumbangan zakat perniagaan berjumlah RM150,000 kepada Tabung Baitulmal Sarawak (TBS).
Inisiatif itu menzahirkan komitmen berterusan SEDC dalam menunaikan amanah sosial serta membantu golongan yang memerlukan.
Sumbangan diserahkan oleh Pengerusi SEDC, Tan Sri Datuk Amar Abdul Aziz Husain kepada Pengurus Besar TBS, Datu Abang Mohd Shibli Abang Mohd Nailie dan disaksikan oleh Abang Johari.
Turut serta, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) Datuk Dr Juanda Jaya dan Ketua Pegawai Eksekutif SEDC, Datuk Abdul Hadi Abdul Kadir. – TVS