SEPANG, 14 Mac: Tiga penjenayah warga asing yang ditembak mati oleh sepasukan polis di kawasan hutan Desa Vista, di sini, hari ini dipercayai terlibat dalam 21 kes samun.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, ketiga-tiga suspek dipercayai aktif melakukan samun di sekitar Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan.
“Dengan tumpasnya tiga suspek ini, pihak polis berjaya menyelesaikan sebanyak 21 kes samun dengan anggaran kerugian bernilai RM1 juta,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Hussein Omar, dalam kejadian pada jam 2:30 pagi itu, sepasukan anggota yang digerakkan untuk melakukan pemantauan di lapangan selepas menerima aduan daripada penduduk berhubung cubaan samun telah bertembung dengan ketiga-tiga suspek yang membawa parang.
Kata Hussein Omar, polis kemudiannya telah bertindak melepaskan tembakan ke arah suspek bagi tujuan mempertahankan diri selepas kesemua mereka menyerang anggota.
“Hasil pemeriksaan mendapati ketiga-tiga suspek yang berkulit gelap dan dalam keadaan berlumuran darah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.
Mengulas lanjut, Hussein Omar berkata, kesemua suspek yang berusia dalam lingkungan antara 35 hingga 40 tahun ini dipercayai bukan warganegara dan tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan sah.
Kes disiasat di bawah Seksyen 307 kanun keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun. – TVS