LAWAS, 14 Mac: Pemimpin masyarakat perlu memainkan peranan penting dalam menyalurkan maklumat berkaitan bantuan disediakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kepada mereka yang memerlukan.
Memetik laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, kerajaan sentiasa peka dengan kehendak masyarakat terutama golongan yang memerlukan bantuan.
Menurutnya, pelbagai bentuk bantuan diperkenalkan termasuk bantuan kelahiran sebagai sebahagian daripada dasar Kerajaan Sarawak dalam usaha menyantuni masyarakat.
“Kepimpinan masyarakat harus memainkan peranan sebagai penghubung antara kerajaan dan rakyat bagi memastikan setiap bantuan disediakan sampai kepada golongan sasar,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Sejambak Kasih Sempena Hari Raya Aidilfitri 2025 di Lawas pada Jumaat.
Sementara itu, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Mohamad Razi Sitam menjelaskan, seramai 1,215 penerima bantuan daripada Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian Limbang yang menyambut Hari Raya Aidilfitri akan menerima sumbangan perayaan.
Menurutnya, daripada jumlah tersebut, seramai 100 klien dijemput menghadiri majlis hari ini manakala selebihnya akan menerima bantuan melalui akaun bank.
Beliau berharap Majlis Sejambak Kasih Raya Bahagian Limbang 2025 dapat membantu penerima dan menjadi contoh kepada masyarakat setempat.
Selain itu, beliau turut menyeru kepimpinan masyarakat terus bekerjasama dengan JKM dalam merealisasikan visi dan misi jabatan untuk kebajikan rakyat.
Turut hadir Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak Semawi Mohamad, Pengarah Unit Komunikasi Awam Sarawak Awang Putrayusrie Awang Redzuan, Residen Bahagian Limbang Unus Tambi dan Pegawai Daerah Lawas Ladin Atok.-TVS