MIRI, 13 Mac: Kenaikan harga bahan mentah tidak memberi kesan ketara terhadap barang dan juadah yang dijual di bazar Ramadan di Miri.
Seorang peniaga, Maswahidin Julaihi,65, berkata, kenaikan harga bahan mentah memaksana peniaga mengubah strategi dengan mengecilkan saiz hidangan untuk memastikan harga masih berpatutan kepada pelanggan.
“Barang mentah seperti ayam, daging dan bawang naik mendadak. Contohnya, bawang mencecah RM18 sekilogram. Jadi, kami terpaksa menyesuaikan saiz hidangan supaya pelanggan masih mampu membeli. Kalau nak naik harga terlalu mahal, kami pun susah nak jual,” katanya ketika ditemui TVS di sini, hari ini.
Menurutnya, walaupun berdepan tekanan, peniaga tetap cuba mengimbangi kualiti dan kuantiti agar pelanggan tetap mendapat nilai berpatutan.
Dalam kalangan pembeli, ada yang memahami keadaan tersebut tetapi berharap harga tidak terus meningkat pada masa hadapan.
Norliza Sahlee, 53, seorang suri rumah berpendapat kenaikan harga adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan kerana kos bahan mentah turut meningkat.
“Memang patut harga naik sebab barang modal pun mahal. Walaupun terasa perbezaannya berbanding tahun-tahun sebelumnya, kami faham situasi ini.
Cuma harapan kami, harga yang sudah naik ini janganlah naik lagi,” ujarnya.
Bagi Mohd Ariffin Bujang, 55, seorang penjawat awam, kenaikan harga boleh diterima jika sepadan dengan kuantiti dan kualiti makanan dijual.
“Kalau naik harga, biarlah kuantiti dan rasa makanan berbaloi. Janganlah kuantiti makin sikit tetapi harga melambung. Kalau makanan sedap dan cukup, saya rasa pembeli pun akan berpuas hati,” jelasnya.
Tambahnya, peniaga di bazar Ramadan hendaklah memastikan makanan yang dijual disediakan secara bersih dan segar.
“Makanan bergoreng atau panggang, kalau boleh biarlah segar. Janganlah guna bahan yang sudah lama atau kitar semula kerana ini membahayakan kesihatan pembeli,” tambahnya. – TVS