MIRI, 13 Mac: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) telah mengaktifkan Op Khas Pagar Laut dalam usaha mengekang dan memerangi aktiviti jenayah rentas sempadan seperti kemasukan pendatang asing tanpa izin (pati), penyeludupan bunga api, mercun, barang-barang kawalan serta kontraband terutamanya di lokasi titik panas (hotspot) semasa bulan ramadan dan syawal.
Menurut Timbalan Pengarah Operasi Zon Maritim Miri, Komander Maritim Mahkos Juing, pelaksanaan Op Khas Pagar Laut bilangan 1/2025 merangkumi empat fasa.
Fasa pertama, pengumpulan maklumat dan siap siaga aset; fasa kedua, penguatkuasaan sebelum perayaan; fasa ketiga, penguatkuasaan semasa perayaan; dan fasa keempat, pemantauan dan Post Exercise Debrief (PXD).
“Setakat hari ini, Zon Maritim Miri telah melaksanakan 449 pemeriksaan, 173 penggeledahan yang mana telah menghasilkan enam tangkapan melibatkan kes-kes Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) dan Akta Kastam termasuk satu kes rampasan melibatkan cubaan menyeludup masuk rokok serta minuman keras (beer) di Lawas pada 3 Mac lalu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Majlis Berbuka Puasa Anjuran Zon Maritim Miri pada Rabu.
Tambah beliau, ia memberikan gambaran bahawa Maritim Malaysia sentiasa serius dalam meningkatkan tahap keselamatan perairan negara di samping menghantar mesej tegas dan jelas kepada penjenayah bahawa Maritim Malaysia tidak akan sesekali berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar undang-undang di negara ini dan tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang didapati bersalah.
Menurut beliau lagi, selain melaksanakan tugas penguatkuasaan, Maritim Malaysia turut sentiasa bersiap sedia untuk mengendalikan sebarang operasi mencari dan menyelamat serta bantuan bencana sekiranya berlaku sebarang insiden kecemasan di laut.
Para pegawai serta anggota Maritim Malaysia sentiasa bersiap siaga tidak mengira malam atau siang bagi memberikan bantuan kecemasan di laut.
Maritim Malaysia turut mengadakan pelbagai latihan seperti Search And Rescue Exercise (SAREX) yang diadakan pada setiap tahun bersama dengan pelbagai agensi untuk memperkemaskan lagi Prosedur Operasi Standard (SOP) sedia ada melibatkan aset darat, laut serta udara.
Dalam pada itu, Maritim Malaysia turut mengadakan program takwim secara tahunan bagi meningkatkan tahap kesedaran keselamatan di laut dalam kalangan masyarakat di negara ini, iaitu Hari Kesedaran Keselamatan Maritim (HKKM) yang diadakan pada 6 Jun setiap tahun, program preventive SAR di sekolah serta kampung dan sahabat Maritim.
Usaha ini dilakukan adalah bagi memastikan kadar insiden dan kemalangan di laut dapat dikurangkan dan tidak mustahil ke angka sifar insiden.
Tegas beliau, operasi dan pelaksanaan tugas pegawai dan Anggota Maritim Malaysia semasa bulan ramadan adalah sama seperti operasi rutin pada bulan-bulan lain. – TVS