Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Malaysia bersedia untuk memainkan peranan strategik dalam mencorakkan hala tuju ekonomi ASEAN pasca-2025 dengan menerajui pembentukan Pelan Strategik Komuniti Ekonomi Asean (AEC) 2026-2030. Foto Envato

Malaysia sebagai ‘game changer’, pacu ekonomi ASEAN pasca-2025

ByMuqri Aziz

KUALA LUMPUR, 12 Mac: Malaysia bersedia untuk memainkan peranan strategik dalam mencorakkan hala tuju ekonomi ASEAN pasca-2025 dengan menerajui pembentukan Pelan Strategik Komuniti Ekonomi Asean (AEC) 2026-2030.

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong berkata, langkah ini dilihat sebagai peluang negara untuk membawa pembaharuan dalam ekosistem ekonomi rantau ini, sekali gus menjadikan ASEAN lebih berdaya saing di peringkat global.

Beliau menambah, berakhirnya ASEAN Community Vision 2025 pada hujung tahun lalu membuka lembaran baharu dalam penyusunan dasar ekonomi ASEAN.

Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, katanya, Malaysia komited memastikan kesinambungan hala tuju terbabit melalui pemuktamadan dua dokumen utama yang telah dipersetujui pemimpin ASEAN.

“Dokumen pertama, Core Elements of the ASEAN Community’s Post-2025 Vision, yang dipersetujui semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-42 pada Mei 2023, menetapkan hala tuju ASEAN pasca-2025 dalam tiga tonggak utama, iaitu Politik-Keselamatan, Ekonomi dan Sosio-Budaya.

“Keduanya, ASEAN Community Vision 2045: Resilient, Innovative, Dynamic and People-Centred ASEAN, yang dipersetujui semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-43 pada September 2023, menetapkan visi ASEAN sehingga tahun 2045, dengan tumpuan kepada daya tahan ekonomi, inovasi, dan keterangkuman,” katanya ketika menjawab pertanyaan Senator Datin Ros Suryati Alang semasa Sesi Pertanyaan Lisan di Dewan Negara, hari ini.

Ros Suryati ingin tahu langkah strategik yang diambil oleh Malaysia dalam memacu pertumbuhan ekonomi serantau sebagai Pengerusi ASEAN 2025, memandangkan unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) ASEAN dijangka mencecah USD 4.5 trilion menjelang tahun 2030.

Menurut Liew, Malaysia kini dalam fasa akhir memuktamadkan Pelan Strategik AEC 2026-2030, yang menggariskan matlamat, objektif, serta langkah strategik bagi memperkukuh integrasi ekonomi ASEAN.

Beliau memberitahu, pelan terbabit dijangka akan dilancarkan bersempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 pada Mei depan di ibu negara.

Sebagai pemacu utama dalam agenda ekonomi ASEAN, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) turut membangunkan 18 Keberhasilan Ekonomi Berkeutamaan (PED) yang merangkumi aspek pemerkasaan perdagangan, pelaburan, ekonomi digital, pelaburan hijau, serta industri kenderaan elektrik (EV) dan semikonduktor. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan