SIMUNJAN, 12 Mac: Bazar Ramadan Simunjan yang terletak di Padang Sentral, di sini diyakini meningkatkan sosioekonomi masyarakat setempat menjelang Aidilfitri.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Simunjan, Awla Dris menyeru agar penduduk di sini memeriahkan bazar berkenaan.
“Saya ingin mengajak masyarakat setempat untuk menyokong para peniaga dengan membeli jualan mereka,” katanya kepada TVS hari ini.
Terdahulu, Awla dan Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee merasmikan bazar berkenaan pada Selasa.
Majlis perasmian berkenaan turut menyaksikan kedua-dua wakil rakyat itu menyantuni para peniaga di bazar dengan menyampaikan kelengkapan berniaga seperti apron.
Seterusnya mereka turut mengagihkan bubur lambuk kepada pengunjung serta warga Simunjan.