WANGSA MAJU, 11 Mac: Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) tidak lagi membenarkan tempahan slot pemeriksaan berganda bagi nombor pendaftaran yang sama.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, langkah itu diambil bagi menghentikan penyalahgunaan oleh orang tengah atau ‘runner’yang didapati meraih keuntungan berlebihan selepas menjual slot pemeriksaan kepada pihak lain.
Beliau menjelaskan keputusan itu dicapai selepas mesyuarat bersama pengurusan tertinggi PUSPAKOM dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) semalam.
“PUSPAKOM juga akan menambahbaik sistem tempahan dengan membekukan slot pemeriksaan asal sekiranya ia ditunda ke tarikh lain.
“Langkah ini diambil bagi mengelakkan slot asal daripada disalahgunakan atau dijual kepada pihak lain,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan lawatan kerja di PUSPAKOM cawangan Wangsa Maju, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Anthony berkata, semua cawangan PUSPAKOM kecuali di Langkawi, Kedah dan Pekan, Pahang akan beroperasi 12 jam sehari sepanjang Mac ini.
Langkah-langkah oleh PUSPAKOM itu, kata Loke akan menyaksikan penambahan kapasiti sehingga 15,500 kenderaan sehari berbanding 13,500 sebelum ini.
Dalam pada itu, Anthony berkata, mesyuarat yang dipengerusikan oleh beliau itu juga menyaksikan kementeriannya bersetuju untuk mengambil beberapa langkah bagi mengurangkan kesesakan di PUSPAKOM.
“Antaranya termasuk membenarkan kenderaan menjalani pemeriksaan berkala di PUSPAKOM seawal 14 hari sebelum tarikh tamat tempoh LKM.
“Dalam hal ini, MOT telah memutuskan untuk memanjangkan tempoh ini kepada 30 hari sebelum tarikh tamat tempoh LKM.
“Penambahbaikan ini bertujuan untuk memudahkan pemilik kenderaan untuk merancang masa bagi tujuan pemeriksaan berkala serta mendapatkan slot tempahan pemeriksaan di PUSPAKOM dengan lebih awal,” ujarnya.
Sementara itu tambah beliau, MOT juga telah mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kerja Raya (KKR) dan LLM bagi mempertimbangkan pemberian
pengecualian kepada kenderaan berat yang perlu menjalani pemeriksaan di PUSPAKOM pada waktu puncak.
“Kesemua pelaksanaan penambahbaikan akan bermula pada 17 Mac 2025,” katanya. – TVS