KUCHING, 9 Mac: Program Iftar Perdana di Tebingan Kuching 2025 mendapat sambutan luar biasa dengan lebih 1,000 masyarakat sekitar bandar raya ini turut serta.
Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Utiliti), Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi, berkata kemeriahan program dapat dirasai seawal jam 4 petang selepas solat Asar, dengan orang ramai membanjiri kawasan Square Tower sambil membawa persiapan berbuka puasa.
“Seperti yang dapat dilihat, ada yang datang membawa tikar bersama keluarga dan makanan masing-masing.
“Isitimewanya, program ini melibatkan warga Kuching tanpa mengira kaum dan bangsa. Rakan-rakan kita yang bukan Islam juga turut serta untuk merasai pengalaman berbuka puasa beramai-ramai,” katanya.
Beliau menyatakan demikian ketika ditemui di Program Iftar Perdana di Square Tower, Tebingan Kuching semalam.
Secara tidak langsung, penganjuran program seumpama ini dapat menyatupadukan dan meningkatkan perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di Sarawak.
Katanya, ini adalah acara pertama dianjurkan oleh Majlis Islam Sarawak (MIS) dan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dengan kerjasama rakan kolaborasi lain.
“Insya-Allah, dengan kerjasama sebegini dan sambutan yang menggalakkan oleh warga Kuching, kita akan mengadakannya lagi menjelang bulan Ramadan akan datang,” ujarnya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS), Mual Suaud, memaklumkan bahawa program tersebut turut menyaksikan sumbangan makanan diagihkan kepada masyarakat yang hadir untuk berbuka puasa, selain makanan yang mereka bawa sendiri.
“Sebahagian makanan ini disumbangkan oleh MIS dan sebahagian lagi dari Masjid India Bandar Kuching sebagai tambahan, kerana mereka juga sudah membawa makanan sendiri.
“Dengan sambutan begini, kita berharap program ini dapat menjadi acara tahunan sempena Ramadan akan datang,” jelasnya.
Program anjuran julung kali MIS dan DBKU itu turut dijayakan dengan sokongan Jawatankuasa Pengurusan Masjid India Bandar Kuching serta beberapa badan bukan kerajaan (NGO) seperti Grit Event Management Club, Kelab Belia Proaktif, dan Borneo Glamping.
Selepas majlis berbuka puasa, masyarakat juga berpeluang untuk solat Maghrib dan Isyak berjemaah, menunaikan solat sunat Tarawih, serta mendengar tazkirah Ramadan di Masjid India Bandar Kuching. – TVS