KUCHING, 9 Mac: Kementerian Perpaduan Negara (KPN) menerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) terus komited dalam meningkatkan pembangunan komuniti setempat.
Menterinya, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, setakat 2024 sebanyak 59,601 aktiviti dilaksanakan oleh KRT menerusi lapan bidang tumpuan.
Menurutnya, lapan bidang tumpuan tersebut merangkumi Ekonomi dan Sara Hidup, Keselamatan dan Ketahanan Komuniti, Kepimpinan, Kesejahteraan Komuniti, Pembelajaran Sepanjang Hayat, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya serta Daya Cipta.
“Di Negeri Terengganu, sebanyak lapan KRT dijadikan sebagai KRT Progresif pada tahun 2024 di bawah Fasa 1 Pemerkasaan Rukun Tetangga Progresif dan jumlah peruntukan yang disalurkan adalah RM 811,800.00,” katanya dalam kenyataan semalam.
Dalam kenyataan sama, beliau turut berkongsi mengenai lawatan beliau ke KRT Rumah Murah Binjai yang merupakan salah satu KRT Progresif bagi tahun 2025.
“KRT ini mengusahakan tanaman pelbagai sayuran seperti terung, bendi dan kangkung dengan menggunakan kaedah hidroponik. Bagi merancakkan lagi aktiviti ekonomi komuniti ini, kementerian bersetuju untuk memberikan peruntukan sebanyak RM 76, 500.00,” ujarnya.
Menurutnya, dengan projek yang dilaksanakan, ia akan dapat membantu kerajaan dalam meningkatkan pendapatan komuniti terutama B40, mengurangkan kos sara hidup sekali gus membangunkan Rukun Tetangga (RT) Berdikari.
Pada masa sama, Aaron berkata, kementeriannya akan meraikan Sambutan Jubli Emas Rukun Tetangga tahun ini.
Untuk rekod, dalam tempoh 50 tahun sejak penubuhan Rukun Tetangga melalui pelbagai evolusi untuk memperkukuhkan peranannya sebagai penggerak dan pemangkin komuniti yang bersatu padu, sejahtera, mampan dan progresif. – TVS