LAWAS, 8 Mac: Kerajaan Sarawak telah menyediakan 59 lot kediaman di kawasan seluas 7.5 hektar di bawah Skim Pembesaran Kampung (SPK) Trusan.
Menurut Pengurus Besar Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA), Datu Zaidi Mahdi, fasa pertama projek ini melibatkan pembinaan 15 unit rumah yang akan dilaksanakan oleh pihak LCDA dengan kos peruntukan sebanyak RM5.5 juta yang bermula pada bulan Mac 2025 ini.
“Dan kita menjangka kita akan dapat menyiapkan sebelum akhir tahun ini, 15 unit. Rumah-rumah mampu milik di SPK Trusan ini akan dibina dengan menggunakan teknologi Sistem Binaan Berindustri (IBS) kita selalu gelarnya. Dan ianya mempunyai reka bentuk moden serta ruang yang mencukupi dan munasabahlah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Pelancaran Pembinaan Rumah Mampu Milik Skim Pembesaran Kampung (SPK) Trusan, Lawas di sini hari ini.
Sementara itu, Penghulu Pekan Trusan Liaw Soon Teck menzahirkan rasa gembira dan berterima kasih kepada Kerajaan Sarawak untuk projek SPK Trusan ini.
“Jadi dengan adanya rumah pemindahan untuk kedai lama jadi itu satu cara membawa perubahan di Trusan. Jadi bukan sahaja itu jadi itu meningkatkan ruang di tempat lama itu dia ada satu rumah tempat yang selesa, sesuai untuk mereka.
“Jadi bukan saja itu, jadi tapak lama itu boleh dibangunkan semula untuk pejabat kerajaan, jadi itu banyak kerja infrastruktur boleh dilakukan,” ujarnya.
Rumah di SPK Trusan ini memiliki 3 bilik tidur dan 2 tandas dengan saiz lantai berukuran lebih kurang 870 kaki persegi dan dibina di atas lot tanah berkeluasan antara 10 hingga 12 points bagi memastikan keselesaan setiap penghuni. – TVS