SIBU, 8 Mac: Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) terus memainkan peranan penting dalam memastikan kebajikan golongan asnaf terpelihara dengan menyemak status penerima bantuan secara berkala.
Pengurus Besar TBS, Datu Abang Mohd Shibli Abang Mohd Nailie berkata, ini bagi menilai sama ada mereka masih berada dalam kitaran kemiskinan atau telah keluar daripadanya.
Tambahnya, usaha ini bertujuan memastikan bantuan diagihkan secara adil dan berkesan kepada mereka yang benar-benar memerlukan.
“Kami sentiasa menyemak dari semasa ke semasa sama ada penerima bantuan masih berada dalam kitaran kemiskinan. Jika mereka sudah keluar daripadanya, bantuan tersebut boleh disalurkan kepada individu lain yang lebih memerlukan,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan Ziarah Penerima Bantuan Tabung Baitulmal Sarawak Bahagian Sibu, hari ini
Dalam pada itu Abang Mohd Shibli berkata, setakat tahun 2024, Baitulmal Sarawak telah mengagihkan sebanyak 114 juta penerima bagi membantu golongan asnaf di seluruh negeri.
Menurutnya, peningkatan jumlah agihan ini adalah hasil kesedaran masyarakat untuk terus membayar zakat dan menyumbang kepada Baitulmal, sekali gus membolehkan lebih ramai penerima mendapat manfaat.
“Ini satu perkembangan yang sangat baik kerana ia menunjukkan keyakinan masyarakat terhadap sistem pengagihan zakat.
“Setiap kutipan yang diterima akan disalurkan sebaiknya kepada mereka yang memerlukan,” tambahnya.
Katanya lagi, bagi memastikan bantuan dapat disampaikan secara menyeluruh, Baitulmal Sarawak telah menubuhkan pejabat cawangan di hampir setiap bahagian di Sarawak, kecuali di beberapa lokasi tertentu.
“Matlamat utama kami adalah memastikan golongan yang memerlukan tidak terpinggir dan sentiasa mendapat bantuan yang sewajarnya,” katanya. – TVS