KUCHING, 8 Mac: Kerajaan kini sedang dalam proses memuktamadkan isu peruntukan bagi Ahli Parlimen pembangkang, dengan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang merupakan satu-satunya wakil yang telah memberikan respons setakat ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, Syed Saddiq telah memberikan maklum balas secara prinsip dan bersetuju dengan beberapa perkara berkaitan peruntukan tersebut.
“Insya-Allah, isu ini akan dapat diselesaikan untuk Syed Saddiq kerana beliau telah memberikan respons dan bersetuju secara prinsip. Kini, kita sedang dalam proses memuktamadkan perbincangan dengannya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Agihan Bubur Pedas Kejiranan Mesra Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) Sempena Ramadan Al-Mubarak 1446H/2025M di Kompleks Sukan Satok di sini, hari ini.
Menurut Fadillah, selain Syed Saddiq, kerajaan masih belum menerima sebarang maklum balas daripada Ahli Parlimen pembangkang yang lain mengenai perkara itu.
“Setakat ini, hanya Syed Saddiq yang telah memberi respons. Saya masih belum menerima sebarang maklum balas daripada Ahli Parlimen pembangkang yang lain,” ujarnya.
Selain itu, Fadillah turut mengesahkan bahawa Syed Saddiq telah menghantar surat rasmi serta bertemu secara langsung bagi membincangkan tentang perkara tersebut.
Sebelum ini, isu peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang terus menjadi topik perbincangan, dengan beberapa pihak mendakwa bahawa kekurangan peruntukan menjejaskan usaha mereka dalam membantu rakyat di kawasan masing-masing. – TVS