NEW DELHI, 8 Mac: India telah bersetuju untuk mengurangkan tarif “terlalu tinggi” ke atas produk Amerika Syarikat (AS), kata Presiden AS Donald Trump.
Beliau menyifatkan pasaran India sebagai “terhad oleh banyak peraturan”.
“India mengenakan tarif yang terlalu tinggi ke atas kami. Terlalu tinggi. Anda langsung tidak boleh menjual apa-apa ke India,” kata Trump dalam ucapan di Rumah Putih pada Jumaat.
“Mereka telah bersetuju, dengan cara ini, untuk mengurangkan tarif mereka sekarang kerana seseorang akhirnya mendedahkan atas apa yang telah mereka lakukan,” tambahnya.
Presiden AS dalam ucapannya turut mengkritik Kanada, China dan Kesatuan Eropah berhubung isu tarif.
Sementara itu, Kementerian Hal Ehwal Luar India memaklumkan bahawa India dan AS sedang membincangkan perjanjian bagi menggalakkan perdagangan dengan mengurangkan halangan tarif dan bukan tarif.
“Kedua-dua kerajaan sedang dalam proses memajukan perbincangan mengenai perjanjian perdagangan dua hala (BTA) pelbagai sektor,” kata jurucakap kementerian Randhir Jaiswal dalam sidang media pada Jumaat.
“Objektif kami melalui BTA adalah untuk mengukuhkan dan memperdalam perdagangan dua hala India-AS merentasi barangan dan perkhidmatan, meningkatkan akses pasaran, mengurangkan halangan tarif dan bukan tarif, serta memperkukuh integrasi rantaian bekalan antara kedua-dua negara. Jadi, begitulah cara kami melihat isu tarif dalam konteks perdagangan India-AS,” katanya.-TVS