KUCHING, 7 Mac: Majlis Islam Sarawak (MIS) memperkenalkan beberapa ahli baharu yang bakal menyertai majlis tersebut sempena ulang tahun ke-70 penubuhannya.
Ia diumumkan selepas anggota MIS mengadakan kunjungan hormat ke atas Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg hari ini.
Kunjungan hormat tersebut bertujuan memperkukuh kepimpinan dan memperluas jangkauan perkhidmatan MIS dalam meningkatkan kesejahteraan umat Islam di Sarawak.
Yang Dipertua MIS, Datu Misnu Taha dalam kenyataan berkata, pengenalan ahli baharu adalah langkah penting dalam memastikan kesinambungan kepimpinan lebih dinamik dan relevan dengan perkembangan semasa.
Menurutnya, komitmen ahli baharu dalam meneruskan usaha murni MIS adalah kunci kepada kejayaan masa depan terutama dalam meningkatkan peranan majlis tersebut dalam memartabatkan agama Islam.
“Dengan semangat dan usaha berterusan daripada ahli-ahli baharu ini, saya yakin Majlis Islam Sarawak akan terus berkembang dan memberikan impak lebih besar kepada komuniti Islam di Sarawak,” katanya.
Penubuhan MIS pada tahun 1955 merupakan satu pencapaian besar dalam sejarah perkembangan Islam di Sarawak dan pada tahun ini sambutan ulang tahun ke-70 menandakan perjalanan panjang dan komitmen berterusan dalam memperkukuh institusi agama di wilayah ini. -TVS