KUCHING, 6 Mac: Majlis Islam Sarawak (MIS) dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) akan menganjurkan program Iftar Perdana pada 8 Mac ini di Square Tower Tebingan Kuching.
Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Utiliti) Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi berkata, program tersebut turut mendapat kerjasama Jawatankuasa Pengurusan Masjid India Kuching dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Grit Event Management Club, Kelab Belia Proaktif serta Borneo Glamping.
Menurutnya, objektif utama program adalah untuk memperkukuhkan hubungan silaturahim dan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat terutamanya warga Kuching.
“Program ini akan bermula seawal jam 4 petang di pekarangan Square Tower. Pengunjunh digalakkan membawa juadah masing-masing bagi memeriahkan suasana berbuka puasa secara santai dan terbuka,” katanya dalam sidang media khas Iftar Perdana Kuching, di Ibu Pejabat DBKU, di sini pada Khamis.
Dr. Abdul Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai menjelaskan, pihak penganjur juga akan mengagihkan 500 pek bubur lambuk kepada orang ramai bermula jam 5 petang di hadapan Masjid India Kuching.
Tambahnya, program tersebut terbuka kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang kaum dan agama bagi memperkukuhkan semangat kebersamaan dan keharmonian.
Sementara itu, Datuk Bandar Kuching Utara, Dato Hilmy Othman turut menyeru orang ramai untuk hadir beramai-ramai ke program tersebut bagi bersama-sama meraikan Ramadan dalam suasana muhibah dan penuh keberkatan. – TVS