Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick. Foto fail, Jabatan Penerangan Malaysia.

Dewan Rakyat: Sokongan usahawan dan koperasi di Sabah, Sarawak diperkukuhkan

ByMuqri Aziz

KUALA LUMPUR, 5 Mac: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) terus memperkasakan sektor keusahawanan di Sarawak dan Sabah dengan pelbagai inisiatif yang lebih inklusif, sejajar dengan cabaran dan keperluan ekonomi tempatan.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, KUSKOP memberi tumpuan kepada dua wilayah berkenaan menerusi pelaksanaan dasar yang lebih relevan dengan keperluan usahawan tempatan termasuk inisiatif Tamu Desa dan peruntukan khas dalam Program Peningkatan Enterpris Bumiputera (BEEP).

Jelas beliau inisiatif Tamu Desa sebagai contoh bertujuan menyediakan premis perniagaan yang lebih baik kepada usahawan mikro dan kecil di luar bandar.

“Kita mahu memastikan bahawa usahawan luar bandar di Sarawak, khususnya mereka yang berniaga di tamu mingguan, turut menerima manfaat daripada kemudahan yang biasanya tersedia di bandar dan pekan besar.

“Kerajaan Persekutuan, melalui KUSKOP, telah mengangkat kepentingan ini dan memberi penghargaan kepada Perdana Menteri kerana menyokong program ini dalam Belanjawan tahunan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (Barisan Nasional- Tampin) di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ewon berkata, inisiatif itu bukan sekadar menyediakan infrastruktur tetapi juga memberi akses latihan dan bimbingan bagi memperkasa usahawan tempatan agar lebih berdaya saing.

Berhubung usaha meningkatkan akses pembiayaan kepada usahawan Bumiputera di Sarawak dab Sabah pula, beliau memaklumkan KUSKOP telah menetapkan kuota khas dalam BEEP.

“Sebelum ini, ramai usahawan mengeluh kerana jumlah pembiayaan yang mereka terima terlalu rendah berbanding di Semenanjung Malaysia.

“Sebab itu, kita telah mewujudkan satu kuota khas bagi Sabah dan Sarawak dalam peruntukan BEEP agar usahawan di sana mendapat peluang yang lebih adil,” jelasnya.

Namun begitu, beliau menegaskan bahawa keutamaan kepada Sarawak dan Sabah tidak akan menjejaskan fokus kementerian terhadap usahawan di negeri-negeri lain.

“Kita tetap memastikan setiap inisiatif yang dilancarkan setiap tahun memberi manfaat kepada semua usahawan dan koperasi di seluruh negara.

“Usahawan di sini mempunyai akses maklumat yang lebih cepat dan proaktif dalam mendapatkan perkhidmatan dan kita mahu perkara yang sama berlaku di Sabah dan Sarawak,” katanya lagi.

Kerajaan melalui KUSKOP terus komited dalam memastikan ekosistem keusahawanan yang lebih inklusif dan seimbang antara Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan