KUCHING, 5 Mac: Perkhidmatan BAS.MY di Kuching menyediakan pilihan pengangkutan awam yang lebih murah, selamat dan mudah diakses untuk kegunaan masyarakat.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, perkhidmatan bas tersebut mengenakan caj sebanyak RM50 sebulan dengan menggunakan kad prabayar untuk perjalanan tanpa had.
“Kad ini hanya perlu di ‘top up’ sekali sebulan. Namun, bagi pelajar, Orang Kurang Upaya (OKU) dan warga emas berumur 60 tahun ke atas, perkhidmatan ini diberikan secara percuma.
“Perkhidmatan ini mengenakan caj sebanyak RM50 sebulan menggunakan kad prabayar yang membolehkan pengguna bergerak dari satu destinasi ke destinasi lain,” katanya ketika menaiki bas baharu, BAS.MY Kuching yang memulakan operasinya hari ini.
Jelas beliau, BAS.MY turut menekankan aspek keselamatan dan keselesaan pengguna dengan menyediakan bas moden yang dilengkapi kemudahan yang lebih selamat.
“Bas baharu ini dilengkapi dengan Sistem Kamera Litar Tertutup (CCTV), mesra Orang Kurang Upaya (OKU) dan Alat Peranti Sistem Kedudukan sejagat (GPS).
“Selain itu, kami juga menyediakan kenderaan khas untuk OKU dan warga emas yang berumur 60 tahun ke atas,” katanya.
Perkhidmatan bas tersebut kini beroperasi di beberapa laluan utama di Kuching dan dijangka akan berkembang lebih luas dengan tambahan bas pada bulan Mac dan April.-TVS