KUCHING, 5 Mac: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak barjaya menumpaskan sindiket penyeludupan dadah jenis ganja sebanyak 5,280 gram bernilai hampir RM158,340 ke Sarawak yang dibungkus dalam pembalut coklat “Diary Milk”.
Pengarah Kastam Sarawak, Norizan Yahya berkata, kejayaan itu selepas sepasukan Pegawai Kastam dari Cawangan Narkotik dengan kerjasama pasukan Unit Operasi Darat, Bahagian Penguatkuasaan JKDM Sarawak menahan seorang lelaki yang menuntut satu kotak kiriman kurier di sebuah syarikat kurier yang beralamat di Jalan Lee Ling, Kuching, jam 11 pagi pada 22 Januari lalu.
“Pasukan telah menjalankan pemeriksaan ke atas kandungan kotak kiriman kurier tersebut dan menemukan 25 paket dadah berbahaya jenis ganja yang dibungkus dalam pembalut coklat “Diary Milk”.
“Modus operandi yang digunakan ialah mengedar bahan narkotik dengan menggunakan perkhidmatan kurier dari Semenanjung Malaysia ke Sarawak melalui mod udara dengan mengikrar barang dagangan sebagai “merchandise” bagi tujuan mengelak daripada dikesan oleh pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kes masih dalam siasatan.
Sehubungan itu, katanya, orang ramai digesa membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain serta dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti tersebut.
“Penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi ketirisan hasil, malah ia turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat,” tegasnya.
JKDM juga menyeru kepada orang awam untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam yang terdekat di semua negeri dan memberi jaminan bahawa identiti setiap pemberi maklumat adalah dirahsiakan.- TVS