KUCHING, 4 Mac: Bantuan sebanyak RM100 akan diberikan kepada setiap kanak-kanak Sarawak di Tadika dan Taska yang berdaftar di Sarawak.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, ini merupakan kompenan baharu yang akan dilaksanakan bermula tahun ini bagi membantu ibu bapa untuk membiayai yuran pendaftaran.
“Bantuan ini akan disalurkan melalui Institusi Pendidikan Awal Kanak-Kanak (IPAKK) masing-masing.
“Sejak tahun 2019, Kerajaan Sarawak telah meluluskan pemberian Geran Tahunan Khas (GTK) sebanyak RM5,000 secara sekali beri kepada setiap IPAKK yang berdaftar di Sarawak,” katanya ketika mempengerusikan mesyuarat Majlis Pembangunan Awal Kanak-Kanak Sarawak di sini, hari ini.
Kata Fatimah, GTK telah dikaji semula dan akan dilaksanakan melalui pelaksanaan beberapa program berjumlah RM2,500.
“Antara program-program yang dilaksanakan adalah program pembangunan profesionalisme pendidik dan pengasuh, program Pembangunan Awal Kanak-Kanak sebagai contoh Bersih Awal Bersih Akhir (BABA) atau pendigitalan pengasuhan dan pendidikan awal kanak-kanak atau pembelajaran bahasa isyarat serta program Save For Golden Future bagi melaksanakan program literasi kewangan dan menabung,” katanya.
Selain itu, kata Fatimah, Kerajaan Sarawak juga telah memperuntukkan RM2.5 juta untuk melaksanakan inisiatif Subsidi Yuran Pengasuhan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak dengan kadar maksimum RM1,000 setahun bagi ibu bapa yang berpendapatan RM7,000 ke bawah.
“Inisiatif yang bermula pada tahun 2023 adalah bagi membantu kanak-kanak yang tercicir daripada menerima Subsidi Yuran Pengasuhan Kanak-Kanak Taska dan Bantuan Yuran Tadika yang disediakan oleh Kerajaan Persekutuan.
“Usaha ini juga memastikan anak-anak dihantar ke Taska atau Tadika berdaftar agar keselamatan dan kebajikan mereka terjamin, menggalakkan penyertaan lebih ramai wanita dalam tenaga kerja bagi membantu meningkatkan ekonomi keluarga,” katanya.
Setakat 31 Disember 2024, sebanyak 247 Taska dan 2,718 Tadika telah berdaftar di seluruh negeri Sarawak dan menjadikan jumlah keseluruhan IPAKK berjumlah 2,965.
Untuk rekod, pada 2023, seramai 2,634 kanak-kanak Tadika dan Taska swasta telah mendapat manfaat daripada inisiatif ini manakala 3,175 penerima pada tahun 2024.
Terdahulu, Taska Cahaya Horizons Kuching telah dianugerahkan Anugerah Taska 5 Bintang dalam Majlis Anugerah Standard Kualiti Pengasuhan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak anjuran Bahagian Permata, Kementerian Pendidikan Malaysia. – TVS